Popular Post

Isnin, 24 Januari 2011

Sekejap je, macam-macam terjadi...


Selepas beberapa hari yang agak sibuk dan murung dengan pelbagai masalah yang dihadapi secara tiba-tiba, saya kembali membangunkan semangat dalam diri. Tiada gunanya jika terus menerus dengan kemurungan. Walaupun begitu, saya berharap anda semua sentiasa membangun bersama semangat yang waja.

Apapun, dalam kesedihan yang melanda, saya juga dihiburkan Allah dengan berita yang menghiburkan hati. Amat adil semua ini untuk saya tempuhi. :)

Bila difikirkan, macam-macam yang terjadi dalam sekejap saja. Suka dan duka datang serentak, penawar dan racun berbaur menjadi satu. Terpulanglah kepada kekuatan diri kita untuk mengklasifikasikannya seperti apa. Samada bahagia atau derita. Jika kita mahu ia menjadi warna-warna kegembiraan, maka letakkan segala derita sebagai ujian. Jika kita mahu hidup menjadi murung selamanya, maka teruslah menjadikan ujian sebagai derita yang berpanjangan.

Tidak salah mengatakan derita sebagai derita, namun untuk seketika. Itu lumrah kehidupan; bersedih atas kesukaran yang menimpa. Mana mungkin kita suka dan gembira bila diuji, tapi berpada dengan bersyukur. Barulah kita tenang. Tapi jika rasa diri tabah dan kuat, maka bersahajalah menghadapi semua itu, agar kita tidak rasa terbeban dengannya. Memang senang untuk bicara, tapi memikulnya terkadang boleh membuat kita kecundang dan tewas. Itu semua terpulang pada pengamatan masing-masing.

Bila di uji dengan gembira yang memuncak, jangan terus hanyut, kerna kita akan lebih bersedih bila ia ditarik balik.

Macam-macam perkara terjadi seminggu ini. Penat juga nak fikirkan, malas juga nak fikir sebab banyak lagi benda lain yang perlu difikirkan... tapi, perlukah saya biarkan sesetengah perkara dalam hidup saya? ;p macam tak patut... semoga saya akan bijak dalam selesaikan dan tangani dengan baik semua ini. :)

Sekejap je,

Rabu, 19 Januari 2011

Hari ini menjadi Ummi?


Selasa, hari kita atur masa dengan baik. Barulah kita dapat jalani sehari kita dengan seronok dan lancar. Walaupun kurang sihat, kita akan merasa bersemangat dan tidak hiraukan sakit yang singgah.

Jadual yang padat juga bukan halangan bagi saya mempelajari bahasa Mandarin tadi. Belajar melalui pendengaran dan penglihatan miskipun hanya berguru dengan internet :) setiap senggang masa sebelum masuk ke kelas, saya mengulangi pelajaran yang baru saya dapat. Ada sesuatu yang membuatkan saya teruja hari ini.

Pagi tadi saya baru pertama kali bertemu dengan anak-anak kecil di kelas 1 Itqan. Comel-comel semuanya. Saya mengukir senyum agar mereka tidak kekok dan asing dengan saya. Saya tidak pasti kenapa minggu lepas saya tidak masuk kelas tersebut…huhuhu beberapa langkah saya memasuki ruang kelas, saya dipanggil oleh seorang pelajar lelaki yang tempat duduknya di hadapan, saya pergi kepadanya dan cuba mengenalpasti apa yang ingin dia suarakan (keadaan sedikit bising, maklumlah budak-budak di zaman peralihan) :) “Boleh panggil ummi tak?” Ismail bertanya dengan bersahaja. Saya terkejut juga dengan soalan yang saya tidak pernah duga. Saya melihat muka Ismail, saya fikir mungkin itu cara dapat melepaskan rindunya pada ibunya di rumah (dia tinggal di asrama) jadi, saya membalas dengan berjenaka dan senyum kepadanya. “Boleh, saya tak kisah”

Tapi di luar jangkaan saya, dia memberi salam sambil menambah kalimah “ummi” dibelakang salam tersebut! (dia ketua kelas rupanya) Saya terkejut, dan 1 kelas juga terkejut! Saya terus tergelak. Tapi saya perlu menjaga hati Ismail, maka saya membalas tawa semua di dalam kelas dengan kata-kata “eh, tak mengapa, teruskan...saya tak kisah”

Apapun, saya amat teruja. Mengapa saya dipilih untuk panggilan semulia itu? Terharu, teruja, terkesima (eh, macam nama saya pula) ;p dengan apa yang Ismail lakukan. Pada saya itu penghargaan tidak terhingga. Kerana, walaupun baru tadi saya berdepan dengan mereka, mereka yakin dan menggelar saya sebaik itu. Terima kasih buat kalian :) saya rasa dihargai dan saya amat menghargai.

Ummi bahagia,

Rabu, 5 Januari 2011

Excited Terlajak! hohoho


Wahai semua yang di luar sana, saya ucapkan selamat,selamat dan selamat mengharungi hari ini dengan ceria... Bila hati ceria, semua kerja jadi best! :)

Hari ini saya bersiap seawal jam 6.30 pagi... sebab saya akan menumpang kawan ke sekolah (dia mengajar di sekolah yang lebih jauh) jadi kena bertolak awal. Tak mengapalah, saya nak tumpang, jadi kena rela la... Tapi, dia tak sampai-sampai lagi,saya pun menghubungi dia. Rupa-rupanya dia tidur di Tapah (sekolah dia) maka terpaksalah saya buka tudung semula (nak pergi makan) selalunya saya tak sempat makan di rumah, sebab siap lambat..huhuhu

Bila saya buka periuk ada nasi (lebih malam tadi. Saya xmakan pun sebab saya pergi Ipoh atas urusan kerja) dengan semangat yang tinggi, saya makan nasi berlauk ayam (pedas macam sambal belacan dewa :p) walaupun pedas, saya ulang tambah 2 kali... (kadho tak makan malam tadi)

Sebelum itu, saya telah telefon Mazni beritahu nak tumpang dia pagi ini. Dia ok je! Tq Maz.. heee Jadi saya tunggu Maz jam6.17 pagi (masih awal,Maz sampai selalunya pukul6.25) 5 minit je dah sampai Sungkai?hahaha

Sampai je di sekolah, saya menyelesaikan tugas rutin... (buka pintu bilik komputer) saya bersiap untuk masuk kelas. Bersemangat! :p dalam perjalanan ke kelas, saya terfikir2 tentang kedudukan kelas yang saya nak masuk tersebut, tapi...???? kat mana yea? (kat fikiran saya tak terbayang langsung di mana kelas 2. Rupa-rupanya, nak tahu? :p pelajar tingkatan 1 belum lagi mendaftar, maka kelas mereka masih kosong! Jadi, saya nak mengajar siapa hari ini? Hahaha :D terpaksalah saya patah balik ke bilik guru (sambil tersenyum seorang diri) semua cikgu pelik, sebab tadi semangat sangat, tapi patah balik kenapa? Bila saya bagi tahu, mereka semua ketawakan saya yang bersemangat terlajak ini...tapi saya hadapi dengan muka selamber dan tak malu je...(bukan students tahu pun) hua3

Bila sesi persekolahan tamat, saya dan Maz keluar ke pekan Sungai Kurus (Slim River) nak bank in duit. Sempatlah pula kami lajak lunch dengan semangat juga! ;p (ada orang belanja) terima kasih yea, moga2 murah rezeki... :)

Apapun, buatlah kerja dengan semangat, walaupun saya tersilap, tapi hari ini adalah hari saya yang best, sebab saya hadapinya dengan semangat membara. Selamat bersemangat berkobar2!

Saya memang semangat,

Selasa, 4 Januari 2011

Asas Pengurusan



Semoga anda yang melawati blog ini sihat lagi best hari ini dan setiap hari. Sebagai seorang ketua, pekerja, ataupun penganggur, anda semua perlu tahu proses dan cara mengurus kehidupan seharian. Semoga anda seorang yang tahu mengurus dan mengendalikan hidup dengan baik.

Siapa kata seorang penganggur tidak perlu tahu mengurus? Ketika inilah masa paling sesuai untuk mempelajari perkara ini. Hal ini kerana, mereka tidak disibukkan lagi denganpelbagai masalah dan kerja lain yang perlu diselesaikan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan oleh ketua atau majikan. Apabila proses ini dijadikan rutin dan kebiasaan, maka mereka ini tidak akan kekok dan asing dalam menjadikan sesuatu itu baik dan terancang. Mari kita ketahui apakah yang perlu kita ketahui itu… 

1) Merancang (Planning)

Saya yakin, semua orang tahu merancang. Tapi apakah yang kita rancang dan telah rancang dan sedang rancang itu menepati kaedah perancangan berkesan? Ingat, rancanglah sesuatu mengikut keperluan dan keutamaannya. Jangan utamakan yang kurang penting berbanding yang lebih penting.

Bukan itu saja, malah rancanglah apa,siapa, bila dan bagaimana perkara itu hendak dilaksanakan. Bagi seorang yang bekerja, anda perlu mengumpul dan menganalisa maklumat yang diterima. Jangan menerima tanpa begitu saja tau… Selain itu, bila kita merancang, tentukan matlamat yang ingin dicapai. Bukan main rancang, tapi visinya masih tiada atau kabur.

2) Mengelola (Organising)

Bagi menyempurnakan kerja, kita perlulah menyediakan peralatan dan perkakasan yang sesuai. Sekiranya kerja kita di ladang, maka cangkul dan sabit kemungkinan adalah peralatan yang sesuai, bukanlah pen ataupun meja. Sangat tidak sesuai. Bagi kerja yang kita tahu tidak dapat melakukan seorang diri, maka carilah staf atau pekerja mengikut keperluan. Jangan pula terlebih dari yang diperlukan kerana ia akan meningkatkan kos. Malah, kerja tidak jadi, sembangnya meleret ke petang! :(

Disinilah kita perlu membentuk bidang tugas yang lebih spesifik bagi setiap jabatan atau pekerja. Jangan mengumpulkan beberapa tugas atas seorang pekerja, kerana ia akan membebankan, sekaligus kelewatan kerja akan berlaku. Kerja akan siap bukan pada masanya. Adalah lebih baik memberikan tugas sedikit kepada ramai pekerja ( jangan gila kuasa) :p Disamping itu, perkakasan dan jentera haruslah diselenggara dengan baik. Jangan guna saja tahu, simpan tidak reti. Gawatlah begitu. Seperti juga laptop, dan komputer perlu dijaga dengan baik, agar segala maklumat kerja dan syarikat tidak hilang jika peranti penting itu rosak. Selalulah membuat back up maklumat agar tidak menyesal kemudian hari :)

3) Mengarah (Directing)

Sebagai seorang yang bertanggungjawab, anda perlulah memberikan latihan, bimbingan, motivasi dan kepimpinan kepada pekerja atau orang di bawah pimpinan anda. Hal ini bertujuan untuk menjadikan mereka seorang yang tahu bidang tugas serta berkebolehan dalam kerja yang diberikan. Amatlah rugi sekiranya kita memiliki pekerja yang tidak tahu apa yang perlu dia lakukan. Dengan cara ini juga, dapat membuktikan kepada mereka, bahawa kita seorang majikan yang prihatin.

Namun, tidak dinafikan ada sesetengah jenis manusia yang tidak akan bergerak (buat kerja) selagi tidak diarahkan. Maka, mainkan peranan anda untuk mengarah mereka bekerja. Arahan amat penting supaya mereka tidak curi tulang dan duduk diam. Walaupun begitu, bukanlah semua perkara kita boleh arahkan, bagi menjaga hubungan baik sesama kita. Jangan kerana hal yang kecil, menjadi punca bermasam muka… senyumlah selalu :)

Selain itu, ketua perlu tekad dan teguh dalam membuat sesuatu keputusan. Pekerja akan lebih yakin dan hormat anda sebagai seorang ketua yang bijaksana dalam memutuskan keputusan. Mereka tidak was-was sekiranya kita melakukan dengan tenang dan yakin. Tapi, sebaik-baik keputusan yang dibuat adalah yang telah dimesyuaratkan dengan semua yang terlibat. Maka, ini menunjukkan kita ketua yang tidak membuat keputusan mengikut kepentingan peribadi tetapi kepentingan semua pihak.

4) Mengawal (Controlling)

Wah, dengar macam “queen control” tapi itulah yang melengkapkan pengurusan kita. Sekiranya kita tidak menyelia, mengesan permasalahan, menilai kerja yang dibuat, maka kemungkinan berlakunya kepincangan akan terjadi. Pekerja perlu sentiasa diselia. Itu adalah tugas penting dalam mengawal mereka. Bukan tidak percaya, tetapi tugas. Begitu juga dengan masalah yang diadu pekerja atau yang kita kesan sendiri, perlu dibaiki segera demi kebajikan pekerja… inilah ketua yang baik.  setelah kita membaiki kekurangan yang ada serta menaik taraf keperluan yang sedia ada, buatlah laporan sekiranya perlu. Kalaupun bukan untuk dilaporkan kepada mana-mana pihak, tapi untuk simpanan sendiri. Kita boleh merujuk jika berulang perkara yang sama. Selain boleh menjimatkan masa menyiasat punca permasalahan yang timbul.

Ini cuma asas sahaja. Untuk yang tahap yang lebih tinggi, mungkin anda perlukan kaedah pengurusan yang lebih detail dan praktikal.

Semoga kita menjadi seorang pengurus yang baik dan teratur. Selamat maju jaya semua! :)

Saya Pengurus Diri,


Ahad, 2 Januari 2011

Ujian: Mendekatkan dan Menjauhkan Seseorang Dari Allah


Selagi kita bernama manusia yang hidup di muka bumi Allah ini, kita tidak pernah leka dari diuji dan diuji oleh Allah sebagai Tuhan sekalian alam. Ujian yang diberikan kepada kita, sebenarnya selaras dengan kemampuan diri kita untuk menangani dan menyelesaikannya. Semoga, kita masih boleh mengekalkan tahap kebagusan kita selama hari ini walaupun kita diuji.

Percayalah, sekiranya kita tidak diduga, kita akan terus leka dan tersasar lebih jauh. Jadi, ujian dan percubaan yang diberikan kepada kita semata untuk menuntun kita kembali ke jalan yang benar dan diredhai Tuhan.
Namun begitu, bagi mereka yang tidak sedar dan tidak mahu sedari segala hikmah kejadian ujian dari Tuhan itu, maka mereka akan jauh dan pergi lebih jauh dari bergantung harap kepada Allah. Hal inilah yang membawa manusia berharap kepada dukun, kurafat dan pelbagai macam perkara thaghut lain. Na’uzubillahi min dzalik... Bukan itu saja, orang yang bersikap sedemikian rupa hanya akan menjejaskan nama baik bangsa dan agamanya sendiri. Kadang kala, mereka mencaci Tuhan, mengherdik atas ujian yang mereka hadapi serta menyalahkan Tuhan yang menjadi penghalang kepada matlamat mereka. Sedangkan, sekiranya Allah memberi sakit kepadanya untuk menggagalkannya dalam urusannya itu adalah untuk menyelamatkannya dari bencana perkara tersebut. Tuhan memeliharanya, namun di caci cerca. Sungguh buta mata hati kita. Tetapi, yang memudharatkan dipuja puji. Amat tersasar.

Lihatlah, betapa ujian yang diberikan kepada insane itu terkadang mendorongnya untuk menjadi lebih dekat kepada Penciptanya atau sebaliknya. Manusia zaman ini kurang kesedaran terhadap ujian dan bala yang ditimpakan kepadanya dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Sebagai contoh, tersadung batu. Itu ujian Allah. Hujan di siang hari, itu jugak ujian. Tetapi dek kerana urusan kita yang diutamakan, maka kita merungut-rungut dan menyalahkan. Menyalahkan siapa? Allah kah? Adakah wajar perbuatan itu? Tidakkah kita sedar bahawa Dia Pencipta yang Maha Tahu akan segal-galanya. Sudah pasti ada terbaik disebaliknya.

Maka, bersegeralah memohon ampunan dari-Nya, atasu keterlanjuran kita. Bahkan, nilai dan amatilah sebaik mungkin apa yang telah Allah jadikan dalam kehidupan kita. Detik kita, saat kita dan minit kita bernafas. Kita bersedialah menerima apa saja dengan hati yang terbuka, lapang dan tenang. Nescaya, kita akan redha, sekaligus dapat menjadikan kita hamba yang semakin hari, semakin hampir kepada Pencipta Semesta. Maka, tercapailah maksud sebenar ujian itu ditimpakan. Yakni, mendekatkan hati-hati kita dalam tunduk dan taat kepada-Nya. Bukan, jauh dan tersasar dari landasan keimanan.

Semoga kita akan lebih tabah menghadapi dugaan yang tiba. Tidak saja menerimanya bulat-bulat, tetapi mentafsir baik yang ada padanya. Kematangan akan menjengah, kejahilan akan meminggir pergi.

Aku diuji,

Sabtu, 1 Januari 2011

Permulaan Yang Bagus!

Semoga anda semua di luar sana bahagia dan merasakan seronoknya hari ini. Hari yang agak mendung, tapi tidak hujan, terasa tidak terik mentari tengahari ini. Pada saya, seronok hari yang begitu. :)

Saya baru saja pulang dari menghadiri mesyuarat guru-guru bagi Minggu Silaturrahim pelajar baru sesi 2011. Selesai, saya pulang dan terus ke bengkel emak. Hari ini ada lawatan IKS oleh penuntut-penuntut dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Agak teruja, semangat saya menolong emak hari ini (bukan bermaksud tidak tolong sebelum ini)

Emak buat kek coklat untuk buah tangan kepada urusetia yang menganjurkan program tersebut. Apa lagi, tugas besar saya adalah membuat dekorasi di atas kek tersebut. Gembiralah! bila kita membuat kerja yang kita suka... :) saya lakarkan ungkapan "terima kasih from:Hasmitah ent." dengan penuh kesungguhan. Alhamdulillah, makin cantik dari sebelumnya... bukankah latihan berterusan akan menghasilkan kerja yang semakin baik??? :)



Jam 2 mereka janjikan untuk datang. Tapi mungkin sebab-sebab tersendiri mereka sampai hampir jam 3. Tak kisahlah, mereka datang juga... 4 buah bas UKM menyusur dan parking di dataran bengkel IKS kami. Wah, ramainya... 100 lebih penuntut yang datang. Sambutan kuih yang di jual juga memberangsangkan.... (sampai tak cukup-cukup) maaf yea bagi yang tidak dapat kek dan kuih yang mereka suka...

Pemilik perniagaan dikehendaki memberikan ucapan dan serba sedikit penerangan berkenan dengan perniagaan masing-masing di bengkel. Saya pula membuat demo kepada mereka. Sambil berdemo, sambil bergambar..(yang itu,saya suka!) :P Seronok dapat bergambar kenangan dengan mereka yang ceria-ceria semuanya di hadapan bangunan IKS Trolak Utara,Sungkai Perak. Macam-macam ragam, macam-macam karenah... Tapi, saya sendiri tidak berkesempatan untuk menangkap gambar dengan kamera sendiri (sibuk sangat lah konon,sedangkan saya terlupa sebab seronok sangat) :(Apapun, anda semua memang best lah! :) Mereka pulang sekitar jam4 petang. Seronok betul kalau hari-hari dapat berjual seperti itu.

Tak dapat saya nak kongsikan gambar gembira kami saat itu. Saya harap, nanti saya tidak terlepas lagi untuk merakamkan saat-saat ceria begitu untuk dikongsikan di blog saya ni. :)

Sebelum terlupa, anda juga perlu click link ini :http://tetamuku.blogspot.com/

Semoga kita semua dapat menikmati detik bahagia kita. Kadang kala saat gembira begitu sukar untuk diulang kembali. Terima kasih kepada penuntut-penuntut UKM yang sudi bertandang seketika ke teratak kami. Semoga kita akan bertemu lagi... :)

Salam tulus ikhlas,