Popular Post

Selasa, 26 Oktober 2010

Bercakap Ada Adabnya




Salam mesra saya buat anda yang suka membaca blog ini. Terima kasih daun keladi, anda baca saya suka hati. Bukan cakap2 kosong, tapi ada input yang saya nak omong. Kalau hari ini anda sihat, semoga anda menjadi antara orang2 yang hebat. Kalau anda sakit dan penat, pesan ibu kenalah ingat.. Makan ubat dan duduk rehat. :) Walaupun rehat2,anda masih ada ruang dan masa memilih untuk membaca. Bukan susah kan?

Saya terpanggil untuk melontar buah fikiran tentang orang yang suka bercakap. Maklumlah, saya seorang yang tergolong dalam kelompok manusia yang suka bercakap. Namun, kita perlu diingatkan bahawa, perlu beradab, dan ada cara2nya. Lancang lidah, bahanalah sudah. Lidah dipelihara, sama2lah terpelihara.

Pertamanya, sebelum bercakap atau mengutarakan pendapat, berfikirlah terlebih dahulu. Jangan serbu atau bercakap tanpa berfikir panjang. Kelak memakan diri. Kebanyakannya orang tidak berfikir ketika sedang marah. Semua yang terlintas diminda, dihambur serta merta. Tidak sempat untuk memikirkan baik dan natijahnya di kemudian hari. Apabila sudah reda dan sedar diri, kata2 tadi telah dipegang orang disekeliling kita. Bukankah itu padah yang besar?

Kedua, cakap ikut suka mulut dan hati sendiri sahaja. Orang jenis ini tidak tahu menjaga perasaan orang lain. Apa yang dia mahu utarakan, dia tidak bertapis dan tidak cakap berlapik. Ramailah kawan dan taulan yang menyimpan dalam. Kes beginilah yang sering menjadi barah dalam persahabatan, kemudiannya meletus seperti gunung berapi... Meledak segala isi dan lahar yang membara sejak sekian lama diperam dalam diri. Dahsyat kalau hal ini terjadi terutamanya kepada rakan karib. Akhirnya mereka akan menjauh dan renggang begitu saja. Kasihan...

Bukan itu saja, manusia yang buat lawak tak tentu tempat dan waktu juga tidaklah bagus. Mengapa? Walaupun mereka dapat menghiburkan sesetengah pihak, namun kata2 mereka yang sinis dan bersahaja, boleh juga menyentuh hati orang yang tidak biasa dengan mereka. Bukan tidak boleh berjenaka, namun pilihlah golongan yang sudah serasi bersama, bukan main terpa sahaja. Demikian kadang kala boleh menimbulkan fitnah dan ketidak selesaan antara orang ramai dengan anda. Untuk menjaga hubungan baik, berpada2lah dalam berseloroh.

Lagi tidak beradab kepada mereka yang mulut laser. Semua orang selagi di depan matanya, jika dia marah atau membebel, semua orang dia komen. Bukan calang2 komen, tapi yang pedas2 sahaja. Bukankah itu akan hanya merosakkan hubungan baik sesama kita? Bukan tidak boleh, tapi sekadarnya sahaja sudah memadai. Tambah parah apabila yang terkena itu adalah orang yang tidak kena mengena dengan hal tersebut.

Ada juga yang suka perli memerli. Ini semua bukanlah adab yang baik dalam bercakap. Sekiranya kita tidak dikenal, sudah pasti kita akan di"cop" dengan pelbagai nama dan gelaran yang tidak sedap didengar. Mahukah anda digelar bukan2? Kalaupun mahukan publisiti, carilah perkara baik yang boleh menaikkan imej dan status diri dikalangan rakan sekerja atau orang dibawah pimpinan kita. Itu barulah boleh dijadikan contoh teladan yang baik. Malah, kita juga akan disayang dan disukai ramai orang.

Ada setengah pendapat mengatakan, jika kita diperlakukan sebegitu dan sebegini, maka kita perlu membalsa yang sama agar orang tersebut tidak lagi berani mengata atau memperolok2kan kita. Namun, pada saya... Biarkanlah apa mereka mahu buat pada kita. Janganlah kita menjadikan hal tersebut membara dan panas. Orang yang tidak beradab semasa bercakap ini selalunya mempunyai masalah dalam berkomunikasi dengan ramai orang. Dia mahu dirinya dilihat terbaik, dan orang lain dilihat sentiasa bersalah. Juga, mereka ini dalam lapisan masyarakat yang takut pada bayang2 sendiri. Macam2 sebab manusia melakukan sesuatu, tidak hanya untuk suka2, ada juga demi kepentingan dirinya dan lain2 lagi.

Lagipun, Nabi s.a.w telah banyak kali berpesan kepada kita agar menjaga hubungan baik sesama Islam. Bukan itu saja, malah berdosa sekiranya kita menggelar dan memperolok2kan orang. Tidak kurang orang yang tidak beradab dalam perbualan, semua itu telah dijelaskan oleh Nabi kita secara panjang lebar dalam banyak hadis dan juga Al-Quran. Mengapa mesti kita langgar? Jika telah termaktub larangan itu, maka sudah tentulah ada natijah buruk disebaliknya.

Maka, marilah kita perbetulkan diri agar tidak menyakiti jiwa orang lain. Sekiranya kita telah berusaha memperbaiki diri, namun masih ada yang sakit kerana kita, maka berdoalah kepada Allah agar terhindar fitnah kebencian manusia. Malah itu bukanlah salah kita lagi...Sudah kebiasaan manusia sering saja ada yang tidak puas dihati. sukarnya untuk memuaskan hati orang lain.

Berdosanya kita seandainya kita sudah tahu sikap kita dalam berbicara boleh mengguris hati orang, tetapi kita tidak mahu mengubah diri dan cara berbicara kita... Sebaliknya berniat mengekalkan diri dalam keadaan itu dan berpuas hati dapat menyakitkan hati orang tersebut dengan cara itu. sekiranya kita berubah kerana Allah demi membaikkan keadaan, bukankah disisi kita ganjaran yang besar? dan apalah yang kita dapat dengan perilaku buruk dalam komuniti Islam? tidakkah ia boleh menjadi fitnah kepada umat Islam itu sendiri?

Tepuk dada,
soal iman di hati,
Jika selesa,
ada something wrong dalam diri.

Jika sudah tersedar diri,
maka eloklah percepatkan baiki peribadi,
Sikap buruk kita hindari,
sifat baik kita dekati,
agar hidup kita diredhai,
semua orang pun tak sakit hati.

Kita Ummah Beradab Murni,

1 ulasan: