Popular Post

Sabtu, 30 Oktober 2010

Dihati Mereka Ada Anda!



Bagi mereka yang sedang berkerja, selamat meneruskan usaha anda. Sungguh murni. Bagi yang sedang bercuti, selamat menikmati cuti dan "top up" tenaga untuk berkerja semula minggu seterusnya. Apapun yang telah, sedang dan akan anda semua lakukan, saya amat berharap kerja anda beroleh kejayaan dan membuahkan hasil seperti yang anda impikan. Insya-Allah...

Hari ini, hari ahad,hari untuk ramai orang beristirehat. ramai juga yang mengambil peluang pergi bercuti, berkelah bersama ahli keluarga, tidak kurang juga yang menjalankan hobi di rumah. Bagi saya, cuti ini perlu saya manfaatkan dengan sebaik mungkin, agar saya dapat meneruskan kerja dengan lebih berkualiti apabila tiba minggu berikutnya. Pada hari yang semua orang sedang mengosongkan fikiran dari kekusutan kerja, permasalahan anak-anak di sekolah, perselisihan faham antara rakan dan majikan, saya mahu berkongsi dengan anda semua berkaitan menghubungkan silaturrahim sesama rakan, taulan, sanak saudara, kawan lama dan baru serta orang yang pernah dan sedang dianggap sebagai musuh. Eh, bahaya ni, jangan bermusuh-musuhan kelak memakan diri sendiri.

Menerusi sebuah hadis Nabi s.a.w, yang lebih kurang bermaksud;"Sekiranya lebih baik islam seorang daripada kamu semua adalah dia melakukan segala kebaikan, maka tertulis baginya 10 ganjaran serta seumpamanya sehingga sampai 700 kali ganda. dan setiap kejahatan yang dia lakukan tertulis padanya seumpama apa yang dia kerjakan".

Apa yang boleh kita semua fahami di sini adalah, sekiranya kita melakukan amal soleh dalam kehidupan ini, maka akan tercatat untuk kita ganjaran yang setimpal dengan apa yang kita lakukan malah boleh berganda sehingga 700 kali ganda mengikut keikhlasan kita dalam melakukan amal tersebut. Namun, bagi mereka yang melakukan amal perbuatan buruk dan keji ketika hidup, maka mereka juga akan menerima balasan yang sama seperti yang mereka kerjakan itu. Tiada gandaan, namun kita sedia maklum bahawa Allah Maha Dahsyat azab siksanya. Na'uzubillah...

Jadi, apalah salahnya kita menggunakan cuti dan masa lapang kita untuk menghubungkan sillah sesama kita. Bukan sahaja memberi kesan baik kepada kita, malah menjalin ikatan yang akan sentiasa mengalir dalam darah generasi kita yang terkemudian. Jika hari ini kita menjalin persaudaraan dengan teman yang berada di Kedah, esok anak-anak kita akan dapat mewarisi kebaikan dari apa yang telah kita lakukan semalam. Hari ini kita taman pokok, bukan terus tumbuh dan berbuah, malah kita perlu baja dan siram agar ia segar dan sihat membesar. Begitulah hubungan silaturrahim. BUkan sekadar menjalin hubungan malah kita perlu juga selalu mengambil berat pada masa-masa yang lain walaupun telah tinggal berjauhan. Kita peroleh kawan, kawan rasa dihargai. Kita menolak lawan, lawan tidak mendekati.

Tidak perlu juga terbang jauh ke serata Malaysia. Cukuplah kita berkenalan dan berbuat baik kepada mereka yang kita temui semasa membeli ikan di pasar, atau mereka yang sedang berdiri menanti ketibaan bas, tidak kurang mereka yang menunggu giliran di hospital. Banyak betul situasi yang membolehkan kita berkenalan dan mendapatkan kawan baru. Tapi, kebanyakan kita enggan berbuat demikian. Pelbagai alasan dan helah diberi untuk tidak melakukan itu. Ada yang malu, ada yang berlagak mahu ditegur terlebih dahulu, ada juga yang melihat atas hingga kebawah, tidak serasi ketika duduk bersama di kerusi menunggu tadi, dan macam-macam alasan lagi. Tapi ingat itu semua cuma alasan. Cuba kita ketepikan alasan, dan ketengahkan keutamaan; menjalin hubungan baik dengan semua orang, tidak kira bangsa dan agama, tidak kira warna kulit dan bahasa pertuturan, kita semua boleh dan tidak pernah ada halangan dalam Islam untuk kita mengenali satu sama lain. Namun, kitalah yang meletakkan pelbagai tembok penghalang di antaranya.

Amatlah rugi jika kita mengelak dari berhubungan baik dengan orang lain. Mungkin hari ini kita sihat, baik dan sejahtera. Tapi, esok mungkin kita menghadapi masalah. Kalaulah perangai kita seperti kera sumbang dan bongkak, siapakah yang sudi membantu kita? Ingin mengharapkan anak-anak semata-mata? Jika mereka berjauhan dengan kita, siapakah yang ada di sekeliling kita? Bukankah jiran, kawan, rakan dan orang yang kita anggap sebagai musuh tadi??? Fikirkanlah demi masa hadapan kita semua.

Malah,sekali-kali kita ditegah berbuat buruk dan jahat kepada yang lain. Hal ini kerana apa yang kita lakukan hari ini akan kita tuai esok hari. Tidaklah bermaksud orang yang dibenci itu yang melakukan itu kepada kita, tapi orang lain akan melakukan yang tidak elok kepada kita pada masa akan datang. Allah itu adil, dan sekali-kali tidak akan membiarkan kezaliman dan kejahatan terlepas begitu sahaja. Mereka akan menerima balasan seperti apa yang mereka telah lakukan. Janji Allah itu benar dan pasti. Oleh itu, jangan sekali-kali kita melakukan zalim, kejam, jahat dan onar kepada oarng lain. Apa yang bakal kita hadapi mungkin akan menjadi lebih teruk dari apa yang dirasai oleh orang yang pernah kita perlakukan buruk dahulu.

Ingat, bila kita mendapat kebaikan, kita sering ingin membalas dengan kebaikan yang sama atau yang lebih lagi. Begitulah dengan kejahatan. Orang akan menjadi kejam dan lebih jahat apabila berhadapan dengan sang penjahat. Tidak ada ruginya berbuat baik, ganjarannya diperoleh di dunia juga di akhirat. Namun, kejahatan yang diterima di dunia bisa memalukan dan membuat kita derita. Di akhirat apatah lagi. Marilah kita sama-sama berfikir hal yang saya bangkitkan ini. Walaupun ramai orang terlupa dan tidak memandang penting hal ini, tapi ia memberi kesan dan amat memainkan peranannya kepada kehidupan setiap insan dan Muslim khususnya.

Mereka Dihati Anda,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan