Popular Post

Sabtu, 25 Jun 2011

Ayah part 2

Hujan turun sejak lewat petang tadi. Menjurai menuruni hujung bumbung. Laju tidak tertahan. Begitu jugalah hati kami sekeluarga. Juraian air mata masih menyelimuti susuk tubuh yang kerdil ini. Apakan daya, lumrah manusia; bersedih apabila ditimpa musibah. Saya tidak dapat menuruti emak petang tadi kerana saya diserang demam campak. Kata emak saya tidak boleh terkena hujan, nanti bentan dan parutnya tidak hilang. Jadi, saya menanti mereka di rumah bersama adik beradik yang lain.

Van jenazah berhenti tepat di sisi pintu utama. Segera saya berlari medapatkannya. Mata saya terpaku pada kafan putih yang membaluti sekujur tubuh kaku; ayah. Hiba menerpa lagi. Hatiku menangis. Ketua keluarga ini telah pergi. Pergi tak kembali. Pergi tak berpengganti.

Kami telah menyediakan tilam menghadap kiblat untuk diletakkan jenazah. Sejak saat itu hingga fajar melihatkan dirinya, alunan zikir dan ayat-ayat suci Kalamullah memenuhi ruang. Membasahi hati-hati yang mendengar. Menenangkan kalbu-kalbu yang diruntun hiba.

Lewat malam, adik beradik yang jauh telah sampai. Mereka mengerumuni kujur tubuh kaku itu. Saya berundur untuk member ruang kepada yang baru tiba, saya juga perlukan masa bersendirian. Ditambah dengan demam, saya rasa semakin lemah dan longlai untuk menghadapi semua itu.

*************************************************************************

Seawal pagi lagi, dari ruang tamu hingga ke ruang dapur dipenuhi tetamu yang datang berziarah. Sahabat handai dan taulan jauh dekat, sanak saudara telah tiba malam tadi lagi- bergegas setelah mendapat berita itu. Perlahan-lahan dedaun pandan di carik-carik kecil. Sambil diiringi bacaan selawat ataupun 3 qul. Katanya hendak dimasukkan ke dalam sarung bantal yang akan di buat sebagai alas@bantal ketika jenazah dimasukkan ke liang nanti.

Ramai yang menghantar keranda ke masjid untuk mensolatkan jenazah. Saya tidak turut serta. Lagipun, wanita tidak digalakkan ke tanah perkuburan ketika upacara pengebumian. Semua yang pergi dikalangan lelaki kebanyakannya. Selesai, sanak saudara beransur pulang ke tempat masing-masing kerana esok perlu bekerja- khamis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan