Popular Post

Rabu, 1 Jun 2011

Ayah... part 1

Sakit dan pedih melihat ayah kesakitan. Mengerang perlahan tapi keras. Betapa menggambarkan kesakitan yang dia tanggungi. Di saat-saat akhir pemergian ayah, amat memilukan hati. Saya menangis sendirian. Hanya saya anak perempuan yang tinggal di rumah ketika itu (saya cuti semester). Yang lain berkerja di luar kawasan. Manakala ada 2orang adik lelaki saya yang membaantu membereskan urusan ayah. Adik saya berhenti kerja kerana ingin menjaga ayah. Semoga niat sucinya itu dibalas oleh Allah dengan ganjaran yang besar. Tidak bercampur ujub dan riak. Insya-Allah… kadang-kadang air mata ayah mengalir, menahan keperitan yang ditanggung. Pedih dan ngilu menerpa seluruh susuk tubuhnya. Sayu hati setiap yang menatapnya. Ayah… andai aku bisa menggantikan tempatmu, aku rela demimu…


Tubuh ayah yang sasa dulunya, kelihatan lemah, kulitnya melebeh… tiada daya upaya lagi…. Setiap minggu ke pusat dialysis untuk mencuci darah. Kaki ayah dipijakkan di atas kaki adik;Apit, untuk berjalan. Ayah tidak mampu berjalan sendiri. Menangis lagi ayah. Disebalik pintu saya terpilu dan sebak. Semua sebak. Kereta dipandu Apit menderu menuju ke Tapah (Pusat dialisis, saya terlupa namanya). Katanya, tak boleh bawa laju-laju, hentakan tu, buatkan ayah sakit.


2 minggu kami anak beranak berulang ke hospital Besar Ipoh setelah ayah dimasukkan ke sana. Bergilir-gilir menjaga ayah. Bila hari minggu, kakak-kakak yang jauh akan balik menjenguk ayah. Cuma 2 orang lagi yang belum bertemunya. Ayah menanti penuh sabar. Seorang kakak akan pulang dari Sabah kerana cuti persekolahan. Seorang lagi, baru menamatkan pengajian di India, dia baru balik. 9 mac 2008, giliran kakak yang baru balik dari India menjaga bersama Mak We (emak pertama saya).


11 mac 2008, petang.

Hari itu, Mak saya akan menggantikan giliran menjaga ayah di hospital. Setelah 2hari Mak We dan Asiah menjaga ayah. Kami tidak dapat pergi ke hospital semalam, kerana kereta ada masalah… Namun, kami mendapat panggilan telefon dari mereka mengatakan ayah tenat. Cepat-cepat Mak ingin pergi ke sana. Tidak mahu ketinggalan saat-saat akhir bersama suaminya tercinta. Tapi, dalam perjalanan Mak yang baru sampai di Tapah, Mak mendapat satu panggilan mengatakan ayah telah dipanggil Ilahi. Kami di rumah juga dihubungi.


Mata saya ni kuyu. Baru hendak dilelapkan. Dari tadi saya tidak bisa; memikirkan ayah… layu,kuyu…. Dan zzzzz… baru 5minit saya terlelap, telefon bimbit yang saya letahkan di tepi bantal berbunyi. Pantas saya menjawab (sebenarnya terkejut) saya duduk meneliti butir-butir kata yang dituturkan pemanggil; Emak. “ayah dah tak ada” terkedu. Suasana sepi seketika. Saya memandang kakak(Masitah) yang sedang kusyuk diatas katil dengan halnya tersendiri. Dia membalas pandangan saya. Perlahan saya memberitahu Kak Ta… dia terpana. Saya terus membaringkan badan. Diam. Melayan perasaan masing-masing. Kami terkejut walaupun kami telah menyediakan minda untuk menghadapi situasi itu. Tiba-tiba kedengaran suara tangis Kak Ta. Saya memandangnya kembali. Berpusing menghadapnya. Lalu saya memeluknya. Kami berdua hanyut dalam tangis petang itu.

Segera jari-jemariku menaip pesanan ringkas di telefon bimbitku, mengkhabarkan berita itu kepada semua adik beradik yang lain. Kawan-kawan, guru-guru serta siapa-siapa entah yang ada dalam senarai “buku telefon” bimbit ini. Emak yang tadi baru samapi di Tapah, telah berpatah balik, untuk menempah kain kafan dan perkakas yang diperlukan untuk jenazah yang bakal tiba magrib nanti. Mak We dan Asiah tiba bersama jenazah dengan menaiki van jenazah Hospital Besar Ipoh.


bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan